Monday, October 29, 2012

Dinar Emas & Krisis Ekonomi



Dinar emas tidak dapat digugat oleh mana-mana mata wang, termasuk dolar Amerika kerana ia merupakan satu bahan komoditi yang mempunyai nilai yang amat stabil. Penggunaan dinar emas mungkin akan menimbulkan kesukaran pada peringkat awal, tetapi segala permasalahan mengenainya dapat diselesaikan sekiranya ia dapat diterima oleh seluruh umat Islam yang membentuk hampir dua bilion penduduk di muka bumi ini. Penggunaan dinar emas dalam urusan perdagangan, perniagaan dan pertukaran mata wang asing bukan merupakan satu perkara yang baru. Wang emas dan perak telah digunakan oleh manusia sejak ribuan tahun yang lalu dan tidak terbatas kepada umat Islam semata-mata.

Catatan sejarah telah menunjukkan masyarakat Cina dan India telah menggunakan kedua-dua mata wang tersebut dalam segala urusan kehidupan mereka sejak dahulu kala lagi. Jadi, tidak timbul bahawa penggunaan wang emas dan perak akan mencetuskan kecelaruan serta kekeliruan pada sistem kewangan antarabangsa. Hal ini demikian kerana dinar emas dan dirham perak yang diperkenalkan pada masa kini adalah sama berat dan sama saiznya dengan yang digunakan di zaman Khalifah ‘Umar al -Khattab.

Idea mengenai penggunaan dinar emas untuk menyelesaikan kemelut ekonomi yang dihadapi oleh dunia hari ini telah dicadangkan oleh Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad semasa merasmikan Simposium Baraka Ke-20, mengenai Ekonomi Islam di Kuala Lumpur pada Jun 2001. Dalam ucapannya, Dr. Mahathir menyatakan bahawa dinar emas bukan sahaja mampu menyatupadukan umat Islam, malahan dapat mengelakkan serangan oleh para penyangak mata wang. Beliau berharap Malaysia dapat memainkan peranan yang lebih berkesan dalam membentuk mata wang dinar Islam melalui Pertubuhan Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSO). Hasrat ini dapat direalisasikan dengan meningkatkan fungsi wang tersebut, kerana nilainya telah diperakui oleh setiap lapisan masyarakat tidak kira keturunan, bangsa dan sempadan negara.

Kesatuan dalam masyarakat Islam amat diperlukan dalam menjayakan Sistem Dinar Emas. Namun, masyarakat Islam kini gagal  untuk membentuk perpaduan di antara mereka. Ini dapat di petik daripada kata-kata Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam mengkritik masyarakat Islam kerana gagal bersatu walaupun untuk kebaikan ummah dengan katanya, “Walaupun kita mempunyai kekuatan seramai 1.3 bilion, kita tidak dapat mencapai apa-apa kerana daripada 50 negara Islam ini, setiap kali mereka bertemu, mereka tidak pernah bersetuju”. Kejatuhan ekonomi Asia pada tahun 1997 seharusnya dijadikan pengajaran oleh negara-negara Islam supaya lebih berwaspada  dan jika boleh mengambil langkah-langkah yang konkrit bagi membendungnya sebelum ia berulang lagi. Dalam situasi ekonomi yang tidak menentu selepas serangan AS ke atas Afghanistan, cadangan untuk menggunakan dinar emas harus diberi pertimbangan yang serius oleh negara-negara Islam. Bagi negara-negara Asia, penggunaan mata wang emas boleh dilaksanakan menggunakan nama-nama yang bersifat lokal dan setempat. Ia tidak semestinya dikenal sebagai dinar emas dan dirham perak, selagi konsep dan asas penggunaannya  adalah berteraskan kepada sandaran kedua logam tersebut. Walaupun pada peringkat antarabangsa, emas menjadi salah satu daripada komoditi perdagangan yang popular, tetapi kestabilan nilainya sukar digugat oleh kegiatan spekulasi dan perubahan iklim politik dunia, berbanding saham dan bahan mentah pertanian.



No comments:

Post a Comment