Saturday, October 27, 2012

Dinar Emas Di Zaman Kesultanan Melaka


Sumber: Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan.


Ketika Zaman Sultan Iskandar Shah (Parameswara) mula membuka dan memerintah Melaka pada Masihi 1400, negeri Melaka tidak mempunyai mata wangnya sendiri .

Ini jelas dapat dibuktikan seperti yang tercatat dalam catatan Laksamana Ying Chin (sebelum Laksamana Cheng Ho) yang menulis ketika itu Melaka masih mengamalkan sistem ‘tukar barang’. Apabila Sultan Iskandar Syah (Parameswara) mengahwini putri dari Pasai yang sewaktu itu sudah tersohor sebagai Negara Islam yang terkenal di rantau ini, maka baginda mula menggunakan matawang Pasai tersebut di negeri Melaka. Gambar di atas adalah wang emas tulen yang pernah digunakan pada era pemerintahan Sultan Iskandar Syah (Parameswara) dari Masihi 1400 hingga 1414. Matawang ini dinamakan Dinar. Ia seberat 1 tahil dan kini telah berusia 600 tahun !





Bunga Emas


Menurut sejarah, Kerajaan Negeri Melaka telah menggunakan Dinar Emas sejak kurun ke -16 lagi. Ini terbukti dalam rekod sejarah tercatat dalam Kanun Melaka, Fasal 33, berkaitan hukum memberi modal kepada seseorang.   

"Bahawa berkata yang memberi emas itu kepada yang disuruhnya itu. Ambillah olehmu dinar emas atau perak, perniagakan olehmu, labanya terkena akan engkau sakalian hendaklah dia tentukan laba perniagaan itu, antaranya itu binasa atau rugi tiadalah dapat menyilih perniagaan itu hilang harta...."

Ini jelas menunjukkan bahawa Melaka pernah menggunakan mata wang Dinar Emas dalam urusan perdagangan ketika itu. Catatan dalam Fasa 33 Kanun Melaka juga menunjukkan perdagangan menggunakan konsep qirad menjadi amalan di Melaka. Ia dilakukan apabila seseorang itu memberi barang atau Dinar Emas nya untuk berniaga dan keuntungan perniagaan dibahagikan mengikut pembahagian yang dipersetujui di atas keuntungan dan bukan di atas modal yang dikeluarkan.

Fasal ini jelas menyatakan "...ambillah olehmu Dinar Emas atau Dirham Perak," rujuk Hukum Kanun Melaka karangan Abu Hassan Sham terbitan Perbadanan Muzium Melaka, 1995. Pada fasal 32 pula ada menyatakan: "...jikalau meminta seseorang laki-laki seratus Dinar Emas, maka ikrarkan ia, maka disuluhkan dengan seribu Dirham seperti hukum berniaga emas dan perak".
  
Ini jelas menunjukkan bahawa peraturan perdagangan dan perniagaan telah dijalankan di Melaka menggunakan Dinar Emas. Pelbagai peradaban perniagaan yang diizinkan mengikut syarak ada tercatat dalam Kitab Hukum Kanun Melaka. 

Maka Dinar Emas bukan asing untuk rakyat Melaka. Kalau kita katakan sejarah sering kali berulang, peristiwa pengenalan Dinar Emas Dirham Perak semula di Melaka  adalah suatu sejarah  di mana kita mendapati bahawa Dinar Emas Melaka akan mula beredar di kalangan masyarakat khasnya umat Islam bagi tujuan simpanan, zakat, mas kahwin, hadiah dan perhiasan.



 

No comments:

Post a Comment