Wednesday, June 22, 2011

REJAB, SYAABAN, RAMADAN BULAN IBADAT



Tidak  terasa kita sudah berada di sepuluh hari terakhir bulan Rejab 1432 Hijriah. Tidak lama lagi kita akan melangkah ke bulan iaitu Syaaban dan seterusnya Ramadan. Betapa pantas masa berlalu.
Rejab, Syaaban dan Ramadan adalah bulan yang ditunggu-tunggu. Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bersabda, "Bulan Rejab bulan Allah, bulan Syaaban bulanku dan bulan Ramadan bulan umatku. Kemuliaan Rejab dengan malam Israk Mikrajnya, Syaaban dengan malam Nisfunya Ramadan dengan Lailatulqadarnya."
Israk Mikraj ialah perjalanan Junjungan Besar Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin dan kemudiannya naik ke langit menuju Hadratul Qudus bagi menemui Allah Subhanahu Wata'ala. Di dalam pertemuan tersebut, Baginda menjunjung perintah agar umat Islam mengerjakan sembahyang fardhu lima waktu (asalnya 50 waktu).
Rejab ertinya ta'zim (kebesaran, keagungan, kemuliaan / rahmat, pemurah, kebajikan). Bulan seterusnya ialah Syaaban. Diceritakan bahawa pertengahan bulan Syaaban atau Nisfu Syaaban adalah hari di mana buku catatan amalan manusia selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru (15 Syaaban bermula pada 14 Syaaban sebaik sahaja masuk Maghrib).
Nisfu Syaaban adalah malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatulqadar. Imam Al-Baihaqi Radiallahuanhu meriwayatkan Saiyidatina Aisyah Radiallahuanha menceritakan bahawa Rasulullah Sallahahu Alaihi Wasallam pada malam itu (Nisfu Syaaban) bangun dan bersembahyang dan dalam sujud yang lama kedengaran Baginda berdoa memohon keampunan, keredaan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala serta memuji-Nya.
Selepas Syaaban, kitani akan bersua lagi dengan bulan Ramadan di mana umat Islam menunaikan tuntutan puasa fardu dan zakat fitrah. Ramadan mempunyai keistemewaan yang melebihi bulan-bulan lain. Rasulullah Sallahu 'Alaihi Wasallam bersabda,
"Diberi kepada umatku lima perkara yang belum pernah diberi kepada umat-umat dahulu sebelumnya: - a) Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada kasturi di sisi Allah; b) Segala perbelanjaan dan derita lapar selama puasanya adalah syurga balasannya; c) Diampunkan dosa-dosa mereka pada malam Lailatulqadar (satu malam dalam Ramadan yang nilainya lebih baik dari 1,000 bulan); d) Amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan dibalas kepada 10 hingga 700 kali ganda, melainkan puasa maka ianya bagiKu, Aku balas kepadanya yang berkuasa menahan syahwatnya, makan minumnya kerana Aku; dan e) Dikurniakan nikmat kepada mereka keseronokan ketika berbuka dan ketika menemui Tuhan di akhirat."
Kita rebutlah peluang kedatangan bulan-bulan ini dengan memperbanyakkan doa bagi kemakmuran dan kesejahteraan yang berkekalan untuk bangsa, agama, raja dan negara.

No comments:

Post a Comment