Wednesday, January 19, 2011

Perluas pelaburan domestik - YBhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad


Dr. Mahathir Mohamad diiringi Mohd. Khalil Yaakob (kiri) dan Mohd. Ali Rustam ketika tiba pada Majlis Ceramah Malaysia Maju 2020 di Ayer Keroh, Melaka, semalam.






MELAKA 19 Jan. - Kerajaan perlu memberi ruang kepada pelaburan domestik untuk merangsang ekonomi negara berbanding terlalu bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI).

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pelaburan domestik dilihat mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara berdasarkan keupayaan banyak syarikat tempatan pada masa ini.
"Saya kenal pasti sekurang-kurangnya 14 syarikat tempatan yang berkeupayaan bersaing di peringkat antarabangsa.
"Dan, jika syarikat ini diberi peluang untuk pelaburan domestik sudah pasti kita tidak lagi perlu bergantung kepada FDI untuk melihat pertumbuhan ekonomi negara berterusan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk 'Malaysia 2020' di Philea Resort & SPA, Ayer Keroh di sini hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan isteri, Toh Puan Zurina Kassim; isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan isteri, Datin Seri Asmah Abdul Rahman.
Majlis tersebut turut dihadiri kira-kira 200 orang terdiri daripada wakil-wakil dari 28 Dewan Undangan Negeri (DUN), parti komponen Barisan Nasional (BN) dan agensi swasta.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu membantu syarikat tempatan dengan memberikan pengecualian cukai bagi menggalakkan penglibatan banyak syarikat tempatan dalam pelaburan domestik.
"Jika kerajaan boleh memberi pengecualian cukai kepada FDI mengapa tidak ia turut diberikan kepada syarikat tempatan," ujarnya lagi.
Langkah itu, kata Dr. Mahathir, bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada FDI dalam merangsang ekonomi negara tetapi mampu mencapai matlamat Wawasan 2020.
Wawasan itu, katanya, mampu dicapai jika semua pihak termasuk rakyat dan pemimpin perlu bekerjasama untuk meningkatkan taraf hidup selain memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan.
Bagi negeri-negeri yang belum mencapai status negeri maju, beliau berkata, mereka perlu lebih agresif untuk memajukan aset yang terdapat di negeri masing-masing.

No comments:

Post a Comment